English Language  

 Dahulu hidup saya susah sehinggakan saya tidak mampu menyekolahkan anak sulung dan anak kedua. Namun, selepas menjadi peserta SALCRA pada tahun 1992, hidup saya kian berubah.

Dickson DugaDickson yang juga merupakan seorang mandur di Estet Kelapa Sawit Mongkos, turut menyatakan bahawa berikutan kesusahan hidup menyebabkan kedua – dua anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan.

“Bermula dari tahun 1993, pendapatan saya semakin meningkat apabila menerima dividen dari SALCRA sehingga membolehkan anak keempat saya melanjutkan pengajian di Maktab Tentera dan kini memegang jawatan tinggi,” kata bapa kepada lima orang anak ini. Menurut Dickson, beliau mula mengenali SALCRA selepas menghadiri seminar yang disampaikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Gramong Juna pada 19 April 1991.

“Memang terdetik di hati saya untuk tidak berdaftar sebagai peserta apabila orang kampong mengatakan SALCRA ‘mencuri’ tanah rakyat tetapi selepas mendengar penerangan yang cukup jelas dan terperinci baharu sedar kebaikan menyertai agensi ini.”

Ini kerana, saya mempunyai tanah terbiar tetapi saya tidak mampu membangunkan tanah tersebut untuk mendatangkan hasil. Justeru, apabila menyerahkan tanah tersebut untuk dibangunkan oleh SALCRA, saya mendapat hasilnya berupa dividen,” jelas Dickson yang tidak pernah menyesal membuat keputusan berkenaan.

Beliau yang menerima tanah warisan nenek moyangnya seluas 1.75 hektar untuk dibangunkan oleh pihak SALCRA telah menerima dividen lebih RM2,000 pada tahun 2013. Bekas askar sempadan semasa zaman konfrontasi sekitar tahun 1970 – an kini mampu tersenyum apabila mendapat jumlah pendapatan lebih RM1,000 sebulan dengan masa yang fleksibel ketika bekerja.

Gaji saya di ladang dahulu antara RM400 hingga RM500 sebulan. Sekarang, gaji meningkat kepada RM1,000 lebih apabila mula bekerja seawall jam 5.30 pagi hingga 3.00 petang setiap hari,” tambah Dickson yang memantau 15 orang Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di ladang sawit.

Tegas Dickson, kewujudan industri sawit menerusi agensi pelaksana iaitu SALCRA, berjaya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat meskipun tidak mempunyai tahap pembelajaran yang tinggi. “Setelah menjadi peserta SALCRA, saya telah bekerja dengan SALCRA sehingga kini. Keadaan ini membolehkan saya membuat simpanan peribadi sebagai persiapan di masa akan datang.”

Dickson yang tidak jemu menyampaikan maklumat mengenai SALCRA kepada orang ramai, turut menasihati penduduk yang mempunyai tanah terbiar dan tidak dibangunkan agar menyerahkan tanah itu kepada SALCRA untuk dimajukan.

Kita sebagai orang kampong tidak mempunyai aset yang cukup untuk menanam kelapa sawit. Jika kita membangunkan tanah tersebut secara persendirian, saya akui memang agak sukar kerana kerja yang tidak tersusun, Bagi yang menanam secara persendirian pula, saya menggesa mereka untuk tidak berputus asa dalam mengusahakan tanaman tersebut.

 

 

Friday, 20 June 2014 02:00