Selamat datang ke laman sesawang rasmi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Laman sesawang ini dibangunkan untuk memberikan pemahaman yang menyeluruh tentang organisasi ini, peranan serta fungsinya. Ia juga berperanan sebagai platform untuk berkongsi maklumat mengenai aktiviti, pencapaian serta peluang yang ditawarkan melalui pelbagai program dan inisiatif SALCRA.
Sehingga kini, SALCRA telah membangunkan lebih daripada 55,000 hektar tanah, memberi manfaat kepada lebih 20,000 peserta dan keluarga mereka daripada kira-kira 400 buah kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak. Tanah-tanah terbiar dan kurang digunakan telah berjaya ditukar menjadi estet produktif bagi penanaman komoditi secara komersial, sekali gus menjana peluang pekerjaan, pendapatan dan perniagaan kepada komuniti luar bandar.
Bagi menyokong operasi estet, SALCRA telah mewujudkan rangkaian rantaian bekalan bersepadu yang merangkumi kemudahan pemprosesan (kilang kelapa sawit), pengeluaran input pertanian (kilang baja), pusat latihan dan pembangunan kapasiti, serta perkhidmatan sokongan seperti logistik, kerja dan bekalan yang diuruskan secara langsung atau melalui anak syarikat.
Selain daripada pembangunan estet, SALCRA juga giat mengembangkan inisiatif ternakan dan tenaga boleh diperbaharui. Melalui Program Pembangunan Ruminan, SALCRA mempergiat aktiviti penternakan lembu bagi menyokong matlamat Kerajaan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) Daging Lembu di Sarawak. Usaha ini disokong oleh projek penghasilan makanan ternakan berasaskan hasil sampingan kelapa sawit yang sedang dilaksanakan untuk menghasilkan makanan ternakan berkualiti tinggi dan mampu milik. Projek ini dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada operasi SALCRA sendiri, malah juga kepada penternak di seluruh Sarawak. Selain itu, SALCRA turut meneroka inisiatif sisa kepada tenaga (waste-to-energy) di bawah usaha ekonomi kitaran bagi meningkatkan kelestarian alam sekitar, kecekapan tenaga dan memaksimumkan pulangan hasil operasi.
SALCRA juga menyumbang kepada pembangunan luar bandar melalui pembinaan jalan raya, jambatan dan kemudahan komuniti termasuk rumah ibadat dan kawasan rekreasi; bantuan pendidikan kepada ahli keluarga peserta yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi; program penjanaan pendapatan tambahan dan keusahawanan bagi komuniti luar bandar; serta inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang membantu mangsa kebakaran, bencana alam dan kecemasan lain.
Menjelang masa hadapan, SALCRA akan terus komited untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar. Kami akan terus melaksanakan program pembangunan yang diamanahkan oleh Kerajaan bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.
Kami komited untuk terus menambah baik laman sesawang ini bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan terkini. Maklum balas serta cadangan membina daripada anda amat dialu-alukan.
Terima kasih dan selamat melayari laman sesawang ini.
........................
"RESILIENT, SUSTAINABLE AND PROFITABLE "
Datu Joseph Blandoi
Pengurus Besar