
16 Ogos 2024, Kota Samarahan: Mesyuarat Agung Tahunan Yang Ke-10 Koperasi Permodalan SALCRA Sarawak Berhad (KPSSB) telah diadakan di Wisma SALCRA. Mesyuarat tahunan ini dipengerusi oleh Encik Mohd Dzulfakhri bin Abdullah dan dihadiri seramai 270 anggota.
Mesyuarat ini bertujuan untuk membincang, mempertimbangkan dan meluluskan agenda-agenda yang penting berkaitan dengan kewangan, prestasi, urus tadbir, pulangan dividen kepada anggota termasuk cadangan atau aduan daripada anggota bagi tujuan menambahbaik operasi KPSSB. Mesyuarat turut menekankan komitmen KPSSB dalam membantu meningkatkan pendapatan dan seterusnya memberikan pulangan keuntungan kepada anggota.
Pada Mesyuarat kali ini, KPSSB telah mengisytiharkan pembayaran dividen 15 peratus yang berjumlah RM 309,708.45 kepada 959 anggotanya bagi tahun 2023.
Setakat 31 Julai 2024, seramai 1,128 anggota telah diluluskan dan aktif dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 2.06 juta yang mana menunjukkan peningkatan dan keyakinan yang teguh terhadap KPSSB dalam kalangan anggota.
KPSSB mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 164 peratus kepada RM0.74 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, berbanding dengan RM 0.28 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Oleh kerana perkembangan yang memberangsangkan, Mesyuarat Agung Tahunan yang ke-10 telah mempertimbangkan dan meluluskan untuk memanfaatkan sumber yang disediakan dalam empat (4) projek baharu bernilai RM 5.0 juta yang dijangka bermula pada tahun 2025. Antaranya adalah Pusat Pengumpulan Buah Tandan Sawit KPSSB yang ke-2 dan Portable Container System KPSSB yang ke-2 yang akan dibina di Bahagian Serian, pembelian mesin perkakas baharu untuk Pusat Pengumpulan Buah Tandan Sawit KPSSB, dan bidang hartanah.
Untuk tahun 2024, KPSSB mensasarkan untuk mencapai keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.60 juta, dan melebihi RM0.70 juta untuk tahun 2025.
Mesyuarat kali ini juga dengan bangganya berkongsi berita gembira bahawa KPSSB telah berjaya mendapat pengiktirafan sebagai salah satu daripada Top 350 Koperasi Terbaik 2023 di Malaysia.
KPSSB telah berjaya menduduki tempat ke-187 daripada 350 koperasi yang diiktiraf. Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan memandangkan terdapat sejumlah 15,809 buah koperasi di seluruh Malaysia. Pada peringkat Sarawak, KPSSB berada di tangga ke-19 daripada 1,996 buah koperasi di seluruh Sarawak dan di tangga ke-2 daripada 63 buah koperasi di Bahagian Samarahan.
Pengiktirafan ini bukanlah titik noktah, tetapi satu permulaan untuk KPSSB terus maju dan berjaya. KPSSB komited untuk terus berusaha gigih dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggota-anggota dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.
Terima kasih kepada semua anggota yang telah memberikan sokongan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Semoga kita terus bersama-sama mengorak langkah ke arah kejayaan yang lebih gemilang.
Pihak KPSSB juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di atas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan sepanjang tahun lepas.
KPSSB ditubuhkan pada 28 Jun 2013 dengan persetujuan oleh Lembaga SALCRA, dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pendaftaran KPSSB pada 1 Ogos 2013.
Secara asasnya, KPSSB merupakan salah satu usaha SALCRA untuk meningkatkan pendapatan para peserta SALCRA untuk mencapai sasaran RM4,000.00 sebulan.