11 April 2025, Kota Samarahan: Sambutan ulang tahun ke-12 Polis Bantuan SALCRA yang diadakan di Wisma SALCRA hari ini meraikan dan menghargai peranan penting pasukan ini sebagai benteng utama dalam memastikan keselamatan aset, warga kerja serta komuniti di sekitar kawasan operasi SALCRA.
Majlis penuh penghargaan ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar SALCRA, Tuan Joseph Blandoi, yang dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh 113 anggota Polis Bantuan – termasuk 40 anggota bertauliah sebagai Bodyguard – atas dedikasi dan keberanian mereka dalam melindungi kepentingan organisasi serta memastikan kesejahteraan warga dan komuniti. Beliau turut menegaskan keberkesanan pendekatan tadbir urus keselamatan yang menyeluruh hasil kerjasama strategik antara Polis Bantuan, Unit Audit Dalaman dan Unit Integriti dalam membanteras salah laku dan menangani pelbagai ancaman, sama ada dari dalam mahupun luar. Mengambil kira cabaran keselamatan yang semakin kompleks dan berteraskan teknologi, beliau menyeru agar semua anggota terus memperkasa diri dengan kemahiran baharu serta memperluas jaringan kerjasama bersama kepimpinan komuniti bagi memperkukuh langkah pencegahan secara bersama.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian lencana kenaikan pangkat kepada dua anggota terpilih dan persembahan seni mempertahankan diri yang menampilkan ketangkasan serta semangat juang tinggi dalam kalangan anggota Polis Bantuan SALCRA. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh anggota Polis Bantuan SALCRA atas 12 tahun khidmat cemerlang dalam memastikan operasi SALCRA sentiasa selamat, berintegriti dan berdaya tahan.