The Official Website of
SALCRA
Sarawak Land Consolidation and Rehabilitation Authority

  • Web Traffic:
  • Today 1347
  • |
  • Total 959904

 

SIDANG MEDIA PASCA LAWATAN KERJA MENTERI INDUSTRI MAKANAN, KOMODITI DAN PEMBANGUNAN WILAYAH SARAWAK KE INDONESIA DAN SESI PENYERAHAN FAIL PMI

23 Oktober 2024, Lundu: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga merupakan Pengerusi SALCRA, YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menyaksikan Sesi Penyerahan Fail Pekerja Migran Indonesia (PMI) daripada wakil dari Perusahaan Terhad (PT) Arwana Citra Lestari, Bapak Haji Marsum kepada Pengurus Besar SALCRA, Tuan Joseph Blandoi semasa sidang media susulan lawatan beliau bersama delegasi SALCRA ke Indonesia di Pusat Latihan Bajo, Lundu, Sarawak.

Inisiatif ini menunjukkan komitmen SALCRA dalam menangani cabaran kekurangan buruh di ladang kelapa sawit dengan melibatkan diri secara langsung dan aktif dalam pengambilan PMI.

SALCRA sedang menghadapi kekurangan buruh sebanyak 460 penuai. Adalah dianggarkan dengan produktiviti seorang penuai 1.5 tan metrik sehari dan dengan harga buah tandan sawit terkini di sekitar RM700 setiap tan metrik, Lembaga kehilangan peluang pendapatan RM500,000 sehari.

Menurut Pengurus Besar SALCRA, Tuan Joseph, walaupun beberapa inisiatif seperti penjenteraan, penambahbaikan infrastruktur dan reka bentuk lapangan ladang telah dilaksanakan, masih terdapat banyak kegiatan di perladangan yang belum mampu menggantikan tenaga manusia.

Jadi, YB Menteri menyambut baik langkah proaktif SALCRA dalam merapatkan jurang buruh semasa untuk meningkatkan hasil produktiviti di ladang kelapa sawit. Usaha ini kemudian akan memberikan pulangan yang tinggi dan mampan kepada para peserta SALCRA, dan kepada Kerajaan Sarawak.

Beliau juga sedar bahawa kekurangan pekerja di Sarawak juga dihadapi oleh sektor lain. Kata beliau, dengan arus pembangunan yang pesat di bawah pimpinan Kerajaan Sarawak, adalah amat kritikal agar faktor pengeluaran atau perkhidmatan seperti kemasukan pekerja diuruskan dengan cekap. Oleh yang demikian, beliau menyeru supaya jabatan dan agensi berkaitan bekerjasama untuk memudahkan sekaligus mempercepatkan proses kemasukan perkerja luar ke Sarawak bagi mengelakkan kerugian atau kehilangan peluang pendapatan bagi kepentingan semua pihak.

Turut hadir bersama ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Yang Berbahagia Datu Sirai Daha; Pengarah Jabatan Veterinar Sarawak, Yang Berbahagia Datu Adrian Susin Ambud; Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Tuan Dominic Chunggat; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), Professor Dr Harry Entebang; Pengurus Besar Lembaga Industri Getah Sarawak, Tuan Make Jiwan; dan Timbalan Pengurus Besar SALCRA, Encik Sikin Sentok.

© 2025 Sarawak Land Consolidation & Rehabilitation Authority. All rights reserved.
Visit SALCRA Website : httpS://www.salcra.gov.my
Contact Us    Copyright Notice    Security    FAQs    Privacy    Terms & Condition    LOGO    Sitemap
Best viewed : ME 97.0+, GG 97.0+ & FF 96.0+ in 1024 x 768 resolution | last update: JANUARY. 17, 2025